TAHAP KESEDARAN TENTANG JENAYAH SIBER DALAM KALANGAN PELAJAR ANTARABANGSA DI UNIVERSITI
Description
Kajian ini berfokuskan tahap kesedaran tentang jenayah siber dalam kalangan 110 orang pelajar antarabangsa yang berasal dari negara China yang mengambil kursus Bahasa Melayu I di Universiti Sains Malaysia sebagai satu isu keselamatan digital yang semakin signifikan dalam ekosistem pendidikan tinggi. Kedudukan pelajar antarabangsa yang berasal dari China ini dianggap sebagai komuniti rentas budaya yang bergantung kepada teknologi digital untuk urusan akademik, komunikasi, kewangan dan sosial. Hal ini menjadikan mereka kelompok yang berpotensi tinggi terdedah kepada pelbagai ancaman siber. Kajian ini memberikan tumpuan kepada aspek pengetahuan, kefahaman, sikap dan amalan pelajar terhadap jenayah siber seperti pancingan data, penipuan dalam talian, kecurian identiti, penyalahgunaan maklumat peribadi dan pencerobohan akaun. Dengan menggunakan pendekatan kuantitatif berasaskan soal selidik, kajian ini berupaya mengenal pasti pola kesedaran serta kecenderungan pelajar dalam melindungi diri daripada risiko digital. Keunikan kajian ini terletak pada penelitian terhadap pengalaman pelajar antarabangsa yang berasal dari China yang bukan sahaja berinteraksi dalam ruang siber universiti, malah turut membawakan latar literasi digital, pengalaman teknologi dan budaya keselamatan yang berbeza. Dapatan kajian diharapkan dapat menjadi asas kepada pembentukan strategi kesedaran siber yang lebih inklusif yang berasaskan keperluan pelajar serta responsif terhadap cabaran digital semasa. Justeru, kajian ini dijangka dapat memperkaya wacana keselamatan siber dalam konteks pendidikan tinggi. Secara keseluruhannya, kajian ini menegaskan bahawa kesedaran tentang jenayah siber merupakan komponen penting dalam pembentukan komuniti universiti yang selamat, celik digital dan berdaya tahan.