Faktor Mempengaruhi Penggunaan Persekitaran Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) Maya (VLE FROG) Guru Agama/Dini: Kajian di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Negeri Selangor
Authors/Creators
Description
Selaras dengan Pendidikan abad ke-21 (PAK21) suasana persekitaran pembelajaran maya merupakan cabaran terbaru bagi guru-guru agama/Dini di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sejak diperkenalkan Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) pada 2015 guru-guru menghadapi dwi cabaran dalam pengajaran kurikulum baru dan dalam masa yang sama perlu mengimplementasikan pengajaran berasaskan teknologi. Kajian ini bertujuan untuk melihat hubungan antara dimensi persekitaran pdp maya VLE Frog dengan tahap penggunaannya. Selain itu, kajian ini juga bertujuan mengenal pasti faktor peramal terbaik terhadap penggunaan pdp maya VLE Frog. Kajian ini menggunakan soal selidik oleh 86 orang responden yang terdiri daripada guru-guru yang mengajar matapelajaran KBD iaitu Syariah Islamiyyah, Usuluddin dan Al-Lughah Al-Arabiyyah Al-Muasiroh (LAM). Data yang diperolehi dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Sciences (SPSS) 25.0. Hasil analisis korelasi menunjukkan pengetahuan mempunyai hubungan signifikan yang tinggi dalam meningkatkan tahap penggunaan pdp maya Vle Frog di SABK selain kesediaan. (Nilai r= 0.562 pengetahuan dan nilai r = 0.658 kesediaan). Manakala prasarana mempunyai hubungan yang lemah terhadap penggunaan tersebut (nilai r=0.44). Kajian ini turut membuktikan bahawa peningkatan penggunaan persekitaran pembelajaran maya dalam pdp hendaklah seiring dengan pengetahuan dan kesediaan guru dan bukan bergantung kepada kemudahan fizikal semata-mata.